Sukma Diadakan Setiap Tahun Bermula Tahun Hadapan

Posted by Jgs3100 Friday, April 9, 2010, under | 1 comments
KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Selepas 24 tahun dianjurkan sebagai temasya dwitahunan, Sukan Malaysia (Sukma) mungkin diadakan setiap tahun mulai 2011.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata bermula tahun hadapan, temasya Mini Olimpik yang diperkenalkan pada 2008, akan dimansuhkan dan diserap ke dalam Sukma.
Beliau berkata tuan rumah bagi Sukma yang diadakan setiap tahun itu akan diselang-selikan di antara Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil dan negeri-negeri.
"Bermula tahun hadapan Sukma yang digabungkan dengan Mini Olimpik akan diadakan dalam skala lebih besar. Cadangan mengadakan Sukma setiap tahun ini bagaimanapun perlu mendapat kelulusan Kabinet terlebih dahulu," katanya kepada pemberita, di sini pada Rabu.
Terdahulu, Ahmad Shabery mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil. Turut hadir Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong dan Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abd Aziz.Temasya Sukma ke-13 pada tahun ini akan berlangsung di Melaka, dari 10 hingga 19 Jun ini.

Ahmad Shabery berkata tujuan Sukma diadakan setiap tahun bagi membolehkan persatuan dan atlet sentiasa meningkatkan prestasi dan supaya persediaan ke kejohanan lebih besar dibuat dengan teliti.

"Jurang Sukma sebelum ini yang diadakan dua tahun sekali, agak jauh menyebabkan persatuan dan atlet tidak aktif dan hanya menunggu temasya tahun berikutnya," katanya.

Ahmad Shabery berkata Sukma di Kompleks Sukan Negara kelak akan memberi tumpuan kepada jenis sukan elit sementara temasya di negeri-negeri turut menawarkan acara sukan lain.

 
Mengenai isu tarikh penganjuran Sukma di Melaka yang berlangsung pada masa yang sama dengan Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia di Afrika Selatan, Ahmad Shabery berkata tarikh penganjuran Sukma dipilih berdasarkan kesesuaian dengan cuti sekolah.

"Tiada arahan dikeluarkan supaya tarikh tersebut bertembung dengan Piala Dunia. Cuma Sukma memang diadakan pada musim cuti sekolah," katanya.


Piala Dunia akan berlangsung dari 11 Jun hingga 11 Julai.

hasil dr
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newssport.php?id=486865

One Response to "Sukma Diadakan Setiap Tahun Bermula Tahun Hadapan"

  1. Anonymous
    Says:

    rasanya tak praktikal kalau diadakan setiap tahun sb kekangan bajet akan menganggu persediaan atlet dan segala urusan penyediaan pasukan... SUKMA akan hilang prestij kerana setiap tahun dipertandingkan....

    NAWI JI SUNG